5 Peralatan Asas Yang Perlu Ada Untuk Kerja Online Dari Rumah

SantroSondy.com – Bekerja secara online dari rumah akan menjadi sukar apabila anda berulang-alik dari rumah ke pusat internet. Kos perjalanan dan sewa pusat internet per jam akan membebankan anda dalam jangka masa yang panjang, apalagi kalau kerja online yang anda lakukan itu tidak membuahkan hasil dalam jangka masa pendek.

Sebagai contoh, kalau di pekan saya sendiri, kos perjalanan dari rumah ke pusat internet yang terletak di pekan Kota Marudu ialah RM8 (pergi dan balik) dan sewa pusat internet RM2.50 (per jam) jumlah kosnya ialah RM10.50. Jika anda datang 3 kali seminggu, maka kosnya ialah RM31.50. Dalam sebulan anda perlu mengeluarkan kos sebanyak RM126.

Sekiranya anda mahu memulakan kerja online anda dari rumah, anda perlu menyediakan peralatan terlebih dahulu, supaya anda dapat berkerja dengan lebih lancar dan produktif serta menjimatkan masa dan wang anda. Seperti pahlawan yang menyediakan senjata sebelum menghadapi sesuatu peperangan, anda perlu bersedia terlebih dahulu.


Pada hari ini, saya akan mengongsikan 5 peralatan asas yang perlu ada untuk kerja online dari rumah.

1. Komputer riba – RM1500

Belilah komputer riba yang tidak terlalu perlahan dan dapat menggunakan 5 software asas iaitu Google Chrome, Microsoft Word, Powerpoint, Excel dan Paint. Anda boleh memiliki sebuah laptop dengan harga dibawah RM1,500.

Bagi saya sendiri, saya telah membeli laptop saya dengan harga RM1,350 dengan spec asas yang penting bagi saya iaitu mempunyai saiz RAM 4GB, itu pun setelah mendengar penerangan panjang dari penjual komputer riba itu dan sekali-sekala (3 kali) minta potongan harga.

Kenapa saya hanya mahukan laptop yang dapat menggunakan 5 software asas? Kerana;

  • Google Chrome untuk melayari internet
  • Word untuk menulis esei dan mengira patah perkataan
  • Powerpoint untuk mengedit dan memotong gambar.
  • Paint untuk print skrin komputer riba.
  • Excel untuk melakukan kajian kata kunci.

5 Software ini akan menjadi asas kepada perkembangan kemahiran anda untuk membuat kerja online dari rumah.

2. Sambungan Internet – RM188/sebulan

Sambungan internet juga memainkan peranan besar dalam usaha anda untuk berkerja secara efisien dari rumah. Di Malaysia, ada 4 syarikat penyedia rangkaian internet yang saya tahu iaitu Celcom, Maxis, U Mobile dan Digi. Setiap syarikat ini menyediakan pakej dengan harga yang berbeza.

Dari pengalaman saya sendiri, saya telah melalui 2 fasa perubahan pakej internet, iaitu fasa KAWAL dan RAJIN.
  • RM30/sebulan (5GB) – Saya kena KAWAL penggunaan data internet untuk mengelakkan data internet habis sebelum hujung bulan. Pada masa itu, saya sentiasa kebuluran data internet.
  • RM188/sebulan (100GB) – Saya kena RAJIN menggunakan data internet untuk mengelakkan pembaziran wang saya. Pada masa ini, saya sentiasa kena kerja keras untuk menghabiskan data internet.
Bagi yang baru bermula dan belum mampu, saya mencadangkan anda untuk membeli pakej RM30/sebulan dengan data internet 5GB supaya kebergantungan anda pada pusat internet berkurang. Ini kerana, kos data internet RM30 sebulan lebih murah berbanding kos ke pusat internet RM126 sebulan.

Sekiranya anda sudah mampu, saya mencadangkan anda untuk membeli pakej RM188/sebulan dengan data internet 100GB supaya anda dapat mencari maklumat-maklumat yang diperlukan untuk menyiapkan kerja online anda tanpa ada kerisauan data internet akan habis. Pilihlah pakej internet mengikut keperluan anda.

3. Alamat Email - PERCUMA

E-mail merupakan singkatan dari Elektronic Mail yang bermaksud surat menyurat dalam Internet. Setakat pada hari ini, sebanyak 21 trilion penghantaran email berlaku di internet seluruh dunia. 


Anda juga memerlukan alamat email untuk membuka akaun di facebook, Instagram, dan Twitter. Ini kerana, kebanyakkan laman web di internet pada masa ini memerlukan alamat email untuk terus berkomunikasi dengan pelanggan-pelanggan mereka yang berasal dari pelbagai tempat. Contoh yang paling dekat ialah Facebook yang akan menghantar notifikasi ke email anda apabila ada seseorang telah menghantar permohonan untuk menjadi rakan anda.

Jika anda mahu berjaya dalam dunia internet, alamat email adalah perkara asas yang anda mesti penuhi. Untuk tujuan pemasaran, carilah nama email yang menarik supaya pelanggan lebih suka untuk berkomunikasi dengan anda.

4. Buku Nota – RM5

Anda mungkin hairan kenapa saya masih menyertakan Buku nota dalam senarai keperluan asas untuk memulakan kerja online dari rumah. Bagi saya, menulis idea-idea atau matlamat pada buku nota lebih kekal lama berbanding menaip pada telefon bimbit.

Buku nota ini boleh dijadikan diari perjalanan anda dalam dunia online. Satu rahsia yang saya mahu kongsikan kepada anda di sini, sebenarnya menulis diari menjadikan anda SMARTER. Sebabnya anda berkerja seperti seorang saintis yang bukan hanya membuat pemerhatian malah merekod setiap penemuan yang anda temui sepanjang anda berkerja online dari rumah.
  • Specific
  • Measurable
  • Achievable
  • Relevant
  • Timely
  • Ethical
  • Recorded
Dengan menulis nota di buku, anda tidak perlu risau tentang kebocoran maklumat akibat Malware yang ada di internet. Anda juga tidak perlu risau tentang kehabisan cas pada bateri telefon, telefon pecah atau dicuri. Letakkan buku nota di samping anda ketika membaca supaya apabila idea yang menarik muncul di fikiran, anda boleh terus tuliskan idea tersebut.

5. Meja dan Kerusi – RM400

Saya sangat mencadangkan anda supaya berusaha untuk mempunyai satu set meja dan kerusi pejabat yang dikhaskan untuk melakukan kerja online anda. Biar saya kongsikan pengalaman saya semasa menulis artikel ini.

Saya mengambil masa 5 jam untuk menulis artikel ini dalam keadaan duduk dengan bermejakan Meja Jepun. Saya merasa tidak selesa kerana duduk bersila dalam jangka masa yang lama. Lutut, pinggang dan perut terhimpit lemas. Jadi, untuk mengelakkan daripada kekejangan, saya pun terpaksalah mengubah posisi secara kerap.

Ketidakselesaan ini boleh mengganggu konsentrasi anda untuk berkerja secara online dari rumah. Khususnya kerja yang melibatkan penulisan artikel. Sebagai permulaan, belilah meja dan kerusi yang murah, asalkan anda selesa berkerja dalam jangka masa yang lama.

Kesimpulan

Kumpulkan 5 peralatan asas ini satu per satu sekiranya anda merancang untuk melakukan kerja online dari rumah. Untuk membeli semua peralatan ini anda memerlukan modal sebanyak RM2,093, selepas itu maintain RM188 sebulan untuk pakej First Platinum Plus Celcom. Kalau anda tidak mampu lagi untuk melanggan pakej internet di atas, maka modal anda hanya RM1,935.

Saya dari keluarga yang tidak senang ingin mengingatkan anda, sekiranya anda sudah sanggup membuat pelaburan dengan kos sebesar ini, lakukanlah dengan sebaiknya. Jangan bazirkan wang yang anda susah payah cari. Apabila anda membeli sesuatu barang, maksimumkanlah penggunaan barang tersebut. Semoga Berjaya.

Saya mengharapkan artikel ini dapat memberikan manfaat kepada anda. Sekiranya senarai peralatan ini masih tidak cukup, anda boleh hantarkan cadangan penambahbaikan tersebut kepada saya melalui email di muka surat Contact. Terima Kasih.

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel