5 Hal Yang Saya Belajar Dari Lirik Hiti Noh Masoku

lirik lagu hiti noh masoku

Pada 21 Julai 2019, saya telah mengongsikan Lirik Hiti Noh Masoku di blog ini. Beberapa lama selepas itu, saya mula mendapat pelawat asli dari carian Google. Dapat jugalah, rank 4 di Google untuk kata kunci Lirik Hiti Noh Masoku. Saya sangat bersyukur kerana lagu yang dinyanyikan oleh Dabra Sia dapat menaikkan jumlah pelawat ke blog saya yang sederhana ini.

Pada 20 Ogos 2019 pula, penyanyi yang berasal dari Sabah ini mengongsikan Lirik Hiti Noh Masoku dalam versi Bahasa Melayu iaitu Inilah Waktuku. Anda boleh melihat lirik tersebut dari Facebook Page Dabra Sia. Saya membaca lirik versi Melayu sambil mendengar lagu dalam versi Dusun di Youtube

Pada hari ini, saya akan mengongsikan 5 hal yang saya belajar dari lirik hiti noh masoku iaitu Berfikir dan Lihat, Berdiri semula setelah jatuh, Belajar untuk hidup berdikari, Teruskan Maju ke Matlamat dan Berani membuat pilihan. Teruskan membaca kerana anda akan mendapat semangat untuk bangkit semula selepas membaca artikel ini. Apalagi masa-masa seperti sekarang ini, kita sangat memerlukan semangat untuk terus bertambah baik dalam apa pun juga keadaan.

1. Berfikir dan Lihat

Saya tersedar sesuatu pada susunan lirik di rangkap yang pertama iaitu baris pertama dan kedua. Apa yang saya sedar ialah FIKIR dahulu kemudian LIHAT. Berbeza dengan Lihat dahulu kemudian Fikir. Saya fikir ini adalah perkara yang baik untuk dipupuk menjadi tabiat kekal dalam diri, kerana saya percaya apa yang ada dalam fikiran kita, itulah yang kita lihat.

Bila kita berfikir dahulu kemudian melihat, kita cenderung untuk menjadi apa yang kita fikirkan. Sebaliknya, jika kita lihat dahulu, kemudian fikir, kita cenderung untuk menjadi apa yang kita lihat. Apa yang kita lihat boleh dimanipulasi oleh masyarakat yang ada disekliling kita, tetapi dalam fikiran kita, tiada siapa yang boleh baca kecuali Tuhan.

Sebagai contoh, kita melihat iklan Ayam KFC yang sedap, sebenarnya kita tidak perlukan KFC untuk hidup, tapi kita tetap membeli juga kerana kita telah melihat dan terfikir tentangnya. Tetapi bagaimana pula, kalau sekiranya kita sudah terfikir mengumpul duit untuk membeli Handphone baru, pastinya kita mempunyai sebab kukuh untuk tidak membeli KFC sehingga matlamat kita tercapai.
We think we see the world as it is, when in fact we see the world as we are. - Stephen R. Covey

2. Berdiri semula setelah jatuh

Sebelum ini saya fikir orang-orang yang bergelar jutawan adalah orang-orang yang tidak pernah gagal. Tetapi, pandangan saya berubah setelah membaca buku tulisan Benjamin Graham yang bertajuk The Intelligent Investor. Buku itu mengajar saya untuk mendapat lebih banyak kemenangan berbanding kekalahan. Dan buku ini, memberikan saya lebih sebab untuk berdiri semula setelah jatuh, kerana saya memahami selagi ada nafas, kita masih lagi ada peluang untuk mencapai lebih kemenangan.

Poin saya disini ialah Berdiri semula setelah jatuh, dan bukannya sengaja menjatuhkan atau mengagalkan diri. Sangat penting juga untuk sentiasa menang, dan untuk menang anda mesti sentiasa bersedia. Tetapi, jika anda kalah, jangan lupa untuk berdiri semula.

3. Belajar untuk hidup berdikari

Uruslah hidup sendiri tanpa membebankan orang lain, tidak perlu terlalu bergantung pada orang lain. Hanya bergantung pada orang lain, setelah benar-benar perlu. Tetapi selagi mampu, elakkan daripada membebankan orang lain. Kalau anda mahukan kebebasan, belajarlah untuk mengurus kehidupan sendiri. Sebabnya, jika kita tidak dapat mengurus kehidupan kita, maka, orang lain yang akan mengurus kehidupan kita. 

Tambahan lagi, jika anda mahu menjadi ketua, anda mesti terlebih dahulu mampu mengurus diri sendiri, sebelum anda boleh mengurus orang lain. Secara logiknya, ini adalah kriteria yang perlu ada untuk menjadi ketua dalam sesebuah organisasi. Saya fikir, ketua yang baik mesti mempunyai sifat berdikari seperti Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.

You must manage yourself before you can lead someone else. - Zig Ziglar

4. Teruskan Maju ke Matlamat

Saya belajar ini dari ayat Polombuson ku laangku. Memang tiada kelihatan perkataan matlamat pada ayat ini, tetapi ada perkataan "laangku" yang bermaksud "langkahku". Saya faham yang setiap langkah kaki kita akan membawa kita ke satu tempat yang kita mahukan. Matlamat yang kita tetapkan pun mesti khusus dan jelas. Jangan membuang-buang masa melangkah tanpa matlamat yang jelas.

Dalam menetapkan matlamat, saya suka menggunakan akronim SMARTER iaitu Specific, Measurable, Achievable, Relevant, Timely, Ethical, Recorded. Anda boleh menyaring penetapan matlamat anda menggunakan akronim ini. Apabila anda sudah mempunyai matlamat, fokus anda akan menjadi lebih tajam lagi sehingga boleh mengharungi cabaran-cabaran dalam hidup. Apa Matlamat anda?

5. Berani membuat pilihan

Pada rangkap yang ke-4, baris ke-3 iaitu Hiti noh pinilih ku. Bagi saya, ini adalah ayat yang paling berani untuk diucapkan. Ayat ini berbentuk, pengakuan yang muktamad, yang tidak akan berubah walau apapun yang berlaku. Kita pada hari ini adalah hasil daripada pilihan yang kita buat sepanjang hidup kita. Pilihan yang kita buat pada hari ini menentukan siapa kita pada masa depan.

Ada banyak pilihan yang tersedia dalam hidup kita, ada pilihan yang membuatkan hidup kita baik dan ada pilihan yang membuatkan hidup kita kurang baik dalam jangka masa yang PANJANG. Dan faktanya, anda kena berani membuat pilihan. Sebagai contoh, memilih pemimpin negara dan memilih pasangan hidup.

Kesimpulan

Satu perkara yang saya tidak suka dengan lagu ini ialah membuatkan saya terfikir tentang tindakan membalas dendam terutama di dalam lirik yang terakhir iaitu Maanku pokitanai diya. Adalah lebih baik melakukan sesuatu kerana anda suka, ia akan memberikan kegembiraan berganda dalam hidup anda. 

Tapi, kalau anda mahu mendengar lagu dusun yang dapat memberi semangat ketika merasa putus asa, bolehlah masukkan lagu Hiti Noh Masoku dalam senarai lagu kegemaran anda. Terima kasih kepada Dabra Sia kerana melalui lagu ini, saya ada topik menarik untuk dikongsikan kepada pembaca-pembaca yang dikasihi semua.

P/S: Jangan marah-marah and Stay Safe ah.

Gambar oleh Jan Vašek

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel