10 Nasihat Untuk Pelajar Lepasan SPM

Meneruskan Hidup selepas mendapat Keputusan SPM menjadi mudah jika adik-adik mempunyai penasihat yang banyak. Apalagi kalau penasihat adik-adik adalah ibubapa, pakar kaunseling dan orang-orang tua yang berlimpah pengalaman hidupnya.

Saya menulis ini adalah untuk memberikan sedikit pembayang tentang laluan yang akan ditempuhi oleh adik-adik yang sudah mendapat keputusan SPM namun masih tidak tahu apa matlamat seterusnya. Artikel ini akan membuat adik-adik lebih bermotivasi dan tidak putus asa walau apa saja keputusan yang kamu perolehi.

10 Nasihat Untuk Pelajar Lepasan SPM

Teruskan membaca jika kamu merasa kekurangan pengalaman tentang apa yang kamu akan hadapi selepas SPM. Artikel ini mampu membuat kamu cepat berjaya dalam hidup walaupun keputusan SPM adik-adik tidak membanggakan.

Saya ada 10 poin yang mahu dikongsikan kepada adik-adik, jadi mari kita menyemaknya satu per satu.

1. Mempunyai Tujuan Hidup

Ini sangat penting. Apa tujuan hidup yang ada dalam hati anda? Kehidupan seseorang itu tidak kiralah lelaki atau wanita, pasti akan melalui proses ini, iaitu berkerja, mengumpul wang, mencari pasangan, berkahwin, membina rumah, mempunyai anak, membesarkan anak, menyekolahkan anak, sehinggalah anak anda akan kahwin.

Anda pula, hanya tunggu masa untuk berehat selama-lamanya. Jika adik-adik mahu hidup senang pada hari tua, berkerjalah untuk meningkatkan kemahiran sehingga ke tahap profesional. Kemahiran dapat membantu adik-adik untuk membayar bil bulanan.

Lihat saja orang-orang kaya, mereka mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang yang diperlukan oleh ramai orang. Sementara masih muda, pilihlah kemahiran yang sangat berguna untuk masyarakat disekililing kamu.

Contohnya kemahiran bercakap, kemahiran menulis, kemahiran menyanyi, kemahiran bermain gitar, kemahiran bermain piano, kemahiran mengajar, kemahiran mengedit video, kemahiran berkebun dan macam-macam lagi kemahiran yang membolehkan adik-adik meningkatkan nilai kehidupan masyarakat yang ada disekililing.

2. Menulis Kelebihan Diri

Kelebihan diri merujuk kepada aktiviti yang adik-adik yakin untuk dikongsikan kepada ramai orang. Dengan mengetahui kelebihan diri, ini akan membantu adik-adik untuk menjadi lebih yakin lagi ketika menghadiri sebarang sesi temuduga.

Jika ada sesi temuduga yang berdekatan dengan tempat anda, cubalah hadirkan diri. Adik-adik boleh bertanya kepada ibubapa atau guru-guru jika mereka tahu sebarang peluang untuk sambung belajar atau berkerja dengan kelebihan yang ada.

Anda tidak perlukan banyak kelebihan untuk mempunyai masa depan yang senang. Tumpuan anda akan terbagi-bagi sekiranya anda menjaga banyak kelebihan. Contohnya, jika kelebihan anda ialah Matematik, maka belajarlah lebih dalam lagi mengenai matematik sehingga adik-adik dapat mengajar atau berkomunikasi dengan orang lain mengenai subjek ini.

Adik-adik boleh menambah nilai kehidupan bagi masyarakat yang sukakan matematik.

3. Menulis Keburukan Diri

Keburukan diri bermaksud aktiviti yang menghalang adik-adik untuk mengembangkan kelebihan diri, biasanya keburukan diri juga menyebabkan adik-adik merasa tidak yakin dengan diri sendiri. Selalunya keburukkan diri akan lebih jelas terlihat apabila adik-adik jauh dari pantauan ibubapa.

Masuklah di dalam bilik dan tuliskan semua keburukan diri diatas kertas atau buku diari. Caranya ialah dengan menulis setiap perasaan negatif yang muncul dalam hati adik-adik.

Tulislah 10 keburukan yang anda rasai setiap kali anda melibatkan diri dengan aktiviti yang menyumbang kepada perkembangan kelebihan diri anda. Dengan senarai ini, adik-adik boleh membentuk cara berfikir yang dapat memperbaiki keburukan diri adik-adik.

Sebagai contoh, adik-adik malu untuk bercakap (Keburukan diri). Saya suka bercakap kerana ia membantu saya untuk berkomunikasi pada ramai orang (ayat memperbaiki keburukan diri). Atau Saya tidak pandai (keburukan diri), Saya yakin saya boleh belajar (ayat memperbaiki keburukan diri).

Adik-adik boleh bina ayat yang dapat mempositifkan negativiti. Ulanginya sehingga adik-adik benar-benar mempercayainya.

Your thoughts become your words
Your words become your actions
Your actions become your habits
Your habits become your character
Your character become your Destiny.

4. Menggunakan Kelebihan Diri

Menggunakan kelebihan diri bermaksud menggunakan kelebihan diri untuk mencapai kemenangan dalam setiap cabaran hidup yang dihadapi. Apabila anda mahu menghadiri temuduga untuk bekerja, serlahkan kelebihan diri sebaik mungkin.

Guna kelebihan diri untuk meningkatkan peluang adik-adik berjaya dalam apa-apa sahaja temuduga yang dihadiri. Caranya ialah dengan memberitahu bagaimana adik-adik boleh membantu melancarkan perjalanan atau pekerjaan seseorang.

Adik-adik hanya berikan 1-2 contoh keadaan yang membayangkan bagaimana adik-adik boleh membantu melancarkan sesuatu aktiviti. Ini supaya penemuduga dapat gambaran atau persepsi yang baik tentang diri adik-adik.

Contohnya adik-adik pandai bernyanyi, mungkin adik-adik boleh memberitahu penemuduga itu kalau sekiranya ada majlis ditempat kerja, adik-adik boleh menyanyikan lagu untuk memeriahkan lagi majlis itu. Kesannya, tetamu akan mengingat majlis tersebut sekaligus mempromosikan produk syarikat tempat adik-adik bekerja.

5. Memperbaiki Keburukan bagi mengelakkan Kerugian

Jangan membuang masa, wang dan tenaga untuk sesuatu yang tidak dapat menampung kehidupan adik-adik di kemudian hari. Bila melakukan sesuatu, lakukan dengan niat untuk mendapatkan hasil sesuai atau lebih sedikit dari tenaga, masa dan wang yang adik-adik telah berikan untuk melakukannya.

Dimana pun kamu berada, ingat ini, walau sekecil mana pun keburukan itu, ia tetap akan memberi kesan kepada diri adik-adik. Sebagai contoh Keburukan merokok. Merokok membuatkan adik-adik lewat untuk membeli sebuah motosikal.

Katakanlah Harga sekotak rokok ialah RM5, dan adik-adik membeli 2 kotak seminggu dan jumlah kosnya ialah RM10 seminggu, maka sebulan RM40 untuk rokok. Dalam setahun adik-adik akan membelanjakan RM480 untuk rokok.

Katakanlah 6 tahun kemudian, adik-adik mendapat kerja dan memerlukan kenderaan untuk ke tempat kerja. Adik-adik boleh loan sebuah motosikal, mungkin komitmen bulanannya ialah RM235, adik-adik tidak perlu risau lagi kerana adik-adik mempunyai simpanan RM2880 untuk digunakan membayar komitmen bulanan motosikal tersebut.

(Saya tidak mengalakkan adik-adik untuk berhutang tanpa ilmu yang betul).

6. Bergaul Dengan Orang Yang mempunyai Persamaan

Menemui orang yang mempunyai minat yang sama akan membantu adik-adik berjaya lebih cepat. Adik-adik boleh belajar antara satu sama lain. Apabila adik-adik bergaul dengan orang yang tidak mempunyai minat yang sama, kehidupan adik-adik akan menjadi sedikit sukar.

Kerana selain berusaha meningkatkan kemahiran diri, adik-adik juga kena berhadapan dengan gangguan yang membuatkan adik-adik tersasar dari matlamat asal. Bila anda berjalan-jalan di taman, carilah seseorang yang suka bermain gitar, jika anda pun suka bermain gitar.

Jangan terlalu bergaul dengan pemain bola, kerana adik-adik mungkin akan merasa tercabar hingga menyebabkan muncul perasaan merasa diri tidak berguna. Pada hal, itu bukanlah kemahiran atau minat sebenar adik-adik.

7. Mendengar nasihat dari Senior

Nasihat yang diberikan oleh senior, wajar untuk dipertimbangkan kerana mereka sudah lama berada dalam bidang yang adik-adik minati ini. Apabila adik-adik merasa mahu untuk berputus asa, tanyalah senior, bagaimana untuk melalui cabaran ini.

Untuk membuatkan senior adik-adik lebih bersemangat untuk mengongsi pengalaman mereka, carilah tempat yang selesa dan bawalah sedikit makanan jika mampu. Tulislah setiap poin yang adik-adik dapat gunakan untuk terus berkembang dalam bidang yang diminati.

Dapatkan sekurang-kurangnya 10 poin penting untuk membantu adik-adik menjadi profesional dalam bidang tersebut.

8. Tambah Pengalaman Berkerja

Pengalaman berkerja boleh menambahnilai dalam kehidupan adik-adik. Ini kerana, adik-adik akan belajar bagaimana untuk membuatkan sesuatu organisasi itu bergerak maju ke hadapan. Adik-adik boleh menggunakan pengalaman ini untuk menguruskan kewangan, dokumen dan aset sendiri pada masa akan datang.

9. Membaca buku

Membaca buku boleh menambah pengalaman yang melebihi umur semasa seseorang. Ini kerana, penulis-penulis buku kebanyakannya sudah berumur lebih dari 20 tahun. Apabila melawat ke kedai buku, selain melihat pada tajuk buku, pilih juga siapa penulisnya, berapa umurnya sekarang? atau apa kepakarannya?

Contoh buku yang menarik untuk dibaca ialah Think and Grow Rich oleh Napoleon Hill, The Abundant Mentality, The Winner's Lifestyle, dan You are The Boss oleh Daniel Ally. Mungkin sebelum membaca buku-buku ini, adik-adik terfikir bahawa sukar untuk berjaya dalam hidup.

Tapi, selepas membaca buku ini, percayalah perspektif adik-adik akan berubah.

10. Pegang prinsip dengan Setia

Apa yang kita tabur, itulah yang kita tuai. Apa yang kita selalu lakukan, itulah yang akan membentuk siapa diri kita. Bila adik-adik sanggup menjaga 1 kemahiran, kemahiran itu akan menjaga adik-adik juga.

Kita adalah manusia yang sentiasa belajar dan berkembang lebih baik, semakin lama kita duduk dalam satu tempat, semakin bertambah pemahaman kita tentang tempat tersebut.

Jika prinsip adik-adik sentiasa berubah, proses perkembangan adik-adik akan sentiasa dimulakan semula. Tenaga, wang dan masa yang adik-adik luangkan untuk sesuatu kemahiran itu, terbuang begitu sahaja. Bukankah itu sesuatu yang membazir. Think And Grow Rich.

Kesimpulan

Saya adalah pelajar SPM tahun 2008 dengan keputusan yang sederhana. Saya juga terpaksa mengulang peperiksaan SPM untuk subjek Matematik dan Bahasa Melayu. Walaupun terpaksa mengulang, saya akhirnya berjaya menggunakan Sijil SPM saya untuk berkerja sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi).

Saya berbangga dengan pekerjaan saya sekerang kerana saya boleh belajar untuk mentadbir kehidupan saya. Kegagalan-kegagalan saya yang lalu semakin menambah keinginan saya untuk terus belajar, memperbaiki diri saya sehingga saya dapat mencapai standard kehidupan yang saya mahukan pada masa akan datang.

Saya harap perkongsian ini akan memberikan manfaat kepada adik-adik supaya terus berjuang untuk memperbaiki dan membina hidup yang diimpi-impikan selama ini. Selamat Maju dan Berjaya.

Sumber Gambar dari Manh Doan Nguyen

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel