8 Pengalaman Menggunakan Pencuci Muka MK Men

Siapa yang tidak pernah mendengar tentang jenama kosmetik Mary Kay yang sebelum ini terkenal dengan kosmetik untuk wanita? Kini mereka telah mengeluarkan produk untuk lelaki. MK Men yang isinya mengandungi jel pekat jernih telah mengerakkan minat saya untuk mencubanya sendiri.

8 Pengalaman Menggunakan Pencuci Muka MK Men

"Mk Men dapat menyegarkan dan membuatkan kulit muka kelihatan lebih sihat" demikianlah penerangan yang tertulis pada botol pencuci muka MK Men ini. Mungkin anda masih tidak yakin, disini ada 8 pengalaman yang saya ingin kongsikan kepada pembaca yang cantik dan tampan sekalian.

Mari kita semak satu per satu apa pengalaman saya dengan MK Men ini.

1. Keyakinan Bertambah

Pertama kali menggunakan pencuci muka MK Men ini saya mula bertambah yakin. Mungkin kerana reputasi Mary Kay yang sudah lama berkecimpung dalam bidang kecantikan.

Pada masa dalam perjalanan untuk mengambil produk ini, saya berkata-kata dalam hati saya "Akhirnya Mary Kay keluarkan juga produk untuk lelaki. Pasti mereka sudah sangat pakar dalam bidang kulit dan kecantikan.", saya senyum-senyum sendirian.

Pada masa itu juga, saya rasa tidak sabar untuk mencuba pencuci muka ini dengan harapan dapat membuka blackhead di hidung saya yang sering mendapat tumpuan mata saya ketika melihat cermin dalam bilik saya.

Selepas saya menerima pencuci muka MK Men, saya kemudiannya pulang ke rumah dengan imaginasi-imaginasi yang indah.

2. Muka Terasa Ketat

Pada malamnya, saya pun mulalah menggunakan pencuci muka MK Men yang saya dapat petang itu. Selesai sahaja mencuci muka, saya merasa segar sejuk. Kemudian, saya mengeringkan muka saya dengan tuala jiran saya. Takkanlah!!!

Tidaklah, saya gunakan tuala saya sendiri. Jadi, saya tunggu dalam 2 minit, barulah muka saya terasa ketat. Pada masa itu, sambil melihat muka saya di cermin, hati saya bercakap "Memang betul berkesan pencuci muka ini". Jadi tambah-tambah lagilah keyakinan saya.

Malam pertama dengan Mary Kay memang positif. Saya tidur dengan perasaan Handsome pada malam itu dan tidak sabar untuk kerja dengan banyak aura positif pada keesokan harinya.

3. Ragu-ragu

Keesokan harinya, saya kerja seperti biasa dengan harapan rakan-rakan sekerja dapat melihat perubahan pada wajah saya. Tapi sayang, mungkin kerna harapan saya terlalu tinggi untuk mendapatkan hasil yang cepat dan melampau seperti itu.

Rakan-rakan sekerja saya hanya bertegur sapa dengan saya seperti biasa, seolah-olah tiada apa-apa yang berubah. Kemudian, saya menukar strategi saya dengan mencuci muka di tempat kerja saya, pada pagi-pagi hari sebelum mula kerja.

Hari seterusnya, selepas saya mencuci muka dengan MK Men, saya mengeringkan muka saya dengan tisu yang lembut dan sekali lagi saya merasa muka saya sejuk lebih lagi daripada apa yang saya rasa masa mencuci muka di rumah. Mungkin kerana Aircond pejabat itu menambahkan lagi rasa sejuk itu.

6 minit selepas itu, saya merasa muka saya sangat ketat, seakan-akan ada ais halus yang retak dipipi dan tepi mulut saya. Saya lihat cermin dan ternyata ada putih-putih seperti ais di muka saya. Kemudian, saya cepat-cepat pergi ke tandas dan membilas semula muka saya dengan air, dan mengeringkan muka saya dengan kain.

Peristiwa ini membuatkan saya ragu-ragu untuk memakai pencuci muka saya di tempat kerja.

4. Buih Tidak Menusuk di Hidung

Selepas seminggu saya menggunakan MK Men, saya baru perasaan hidung saya tidak lagi rasa pedas selepas mencuci muka dengan pencuci muka ini. Kerena sebelum MK Men, saya menggunakan sabun mandi biasa untuk mencuci muka saya.

Selalunya kalau mencuci muka dengan sabun mandi, saya akan merasa pedih di hidung dan akan bersin tidak kurang dari 4-5 kali. Jadi, tiada lagi kerisauan hidung pedih sepanjang saya menggunakan pencuci muka MK Men ini.

5. Minyak Berlebihan pada Muka

Selain itu juga, pada awal-awal penggunaan pencuci muka ini, saya pernah melalui muka yang terlalu berminyak selepas jam 12 tengah. Minyak yang ada pada muka saya, kalau dikumpulkan, boleh jadi 2 titis yang pekatnya seperti madu.

Tapi saya tidaklah kumpul macam itu. Saya hanya membayangkan sahaja, sebab minyak yang banyak itu membuatkan muka saya berkilat apabila berada dibawah lampu-lampu yang menerangi seluruh pejabat di tempat kerja saya.

Keadaan ini berlanjutan 2-3 minggu. Selepas itu, ada satu ketika, jerawat batu muncul di muka saya. Namun, saya membiarkan sahaja jerawat itu hilang sendiri dan terus menggunakan pencuci muka saya yang agak mahal ini.

6. Blackhead Pada Hidung

Selepas mencuci muka, blackhead atau whitehead seakan-akan hanya tersambul keluar sahaja dari hidung saya. Saya tertanya-tanya adakah perlu saya memicit blackhead atau whitehead itu? Saya mencari jawapannya di Google, dan satu jawapan yang logik saya temui ialah Jangan picit sebab ia membuatkan liang pori kita semakin besar.

Jadi saya biarkan sajalah blackhead atau whitehead itu. Saya harap blackhead atau whitehead ini akan berkurang selepas menghabiskan pencuci muka MK Men 133ML ini.

7. Jadual Mencuci Muka

Saya mencuci muka dengan produk ini setiap hari. Selalunya saya akan mencuci muka pada waktu malam sebelum tidur. Masa menulis untuk menghuraikan poin ini, saya terfikir, bila waktu yang tepat untuk mencuci muka? 

Kemudian, saya fikir secara logik. Tujuan saya mencuci ialah untuk membersihkan kotoran. Saya merasa muka saya tidak terlalu kotor pada petang hari, kerana saya sudah membersihkan diri, minyak pun kurang dan muka juga kurang terdedah kepada habuk-habuk bebas di udara.

Mungkin selepas ini, saya kena mengubah jadual saya untuk mencuci muka. Kalau sebelum ini, saya mencuci muka sebelum tidur, selepas ini saya hanya perlu mencuci muka menggunakan MK Men apabila saya melihat muka saya terlalu berminyak.

8. Harga MK Men 133ml

Pencuci muka ini yang saya letakkan di kamar mandi dan telah hampir habis. Saya sedang berfikir adakah perlu order semula atau tidak? Kerana ianya mahal, harganya RM65 dalam katalog. Saya bukanlah kaya sangat, sebab masa membeli produk ini, saya telah pun membuat perhitungan untuk menggunakannya selama 3 bulan.

Kini, saya sudah menggunakan MK Men hampir 3 bulan, nilainya sama dengan RM0.80 sehari. Saya kira berbaloilah juga, kerana membantu saya menjaga kulit selama 3 bulan. Satu lagi, kalau membeli dengan kawan sendiri boleh dapat dengan harga RM60, walau bagaimanapun tetap kena bayar RM65 untuk delivery atau shipping. 

Saya pernah merasa tertipu juga kadang-kadang, tapi bila difikirkan semula itu semua hanya untuk meningkatkan jualan produk Mary Kay ini. Teknik psikologi yang sangat bijak.

Kesimpulan

Setakat ini saya masih mempunyai lebih banyak tanggapan positif mengenai Mary Kay kerana menjaga saya selama 3 bulan. Saya akan cuba untuk menggunakannya lagi untuk 3 bulan yang seterusnya. 

Diharapkan pembaca-pembaca yang tampan cantik lagi bergaya akan mendapat manfaat dari artikel yang saya tulis ini. Akhir sekali, pada hari ini 20 Ogos 2020, saya mahu kamu tahu bahawa saya masih lagi menggunakan pencuci muka MK Men, supaya kamu tahu You're not alone.

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel