15 Tips Mendekati Orang Baru Supaya Rakan Bertambah

Kebolehan untuk mendekati orang yang baru kita kenal sangat berguna sejak dari dulu lagi, malah kepentingannya semakin bertambah-tambah semenjak akhir-akhir ini. Ramai orang-orang yang berjaya khususnya dalam bidang perniagaan tahu nilai kemahiran ini dalam mengembangkan aktiviti perniagaan mereka. Dengan kebolehan ini, kita akan dikenali lebih cepat berbanding dengan orang yang tidak mahir dalam mendekati orang lain.

Tips Mendekati Orang Baru

Dalam mendekati orang lain, kita harus mempunyai sikap atau mentaliti sebagai seorang pelayan. Seorang pelayan yang mampu memberikan layanan yang manis tanpa mengabaikan nilai harga diri. Sebagai contoh, layanan yang manis disertai dengan senyuman dari pramugari dan pramugara dalam perkhidmatan kapal terbang. Senyuman yang mewarnai wajah setiap anak kapal ini dapat memberikan aura positif kepada semua penumpang sepanjang perjalanan ke destinasi masing-masing.

Pada hari ini, saya akan mengongsikan 15 tips untuk mendekati seseorang yang baru sahaja kita kenal. Idea-idea ini adalah 97% sumbangan dari teman wanita saya sendiri, saya sangat gembira  dapat mengenali dia melalui tulisan ini. Oleh itu, mari semak 15 tips yang akan membantu kita mendekati seseorang yang baru kita kenal pada masa akan datang.

1. Jangan pandang luaran saja

Kalau jumpa seseorang yang baru, jangan pandang atau hakimi dia melalui luaran sahaja. Mungkin di luar dia nampak garang, serius dan menakutkan tapi siapa tahu bila kita kenal dengan orang itu, dia lebih baik daripada apa yang kita sangka. Mungkin juga kita berpendapat, apa yang terlihat secara luaran yang indah adalah hasil daripada apa yang terdapat dalam dirinya, mungkin anda pernah mendengar, Setan juga menyamar mahkluk indah yang dapat mempengaruhi nenek moyang kita Hawa untuk mengambil buah larangan di taman eden, sehingga jatuh ke dalam dosa. Oleh itu, jangan menghadkan standard pendekatan anda berdasarkan pada pandangan luaran sahaja.

2. Berkawanlah dengan ikhlas

Sentiasa ikhlas apabila bergaul dengan seseorang (contoh, tidak hanya melayan si A, sebab kita mahu minta bantuan dia di kemudian hari). Jangan mendekati orang lain hanya untuk kebaikan diri sendiri, atau untuk tumpang populariti, atau sebab dia kaya atau berpangkat. Persahabatan yang ikhlas selalunya akan bertahan lama, tidak kira susah atau senang, jauh atau dekat, perhubungan akan tetap teguh, kerana kita bergaul seperti jam dinding.

Walau dilihat orang atau tidak, ia tetap berdenting, dihargai orang atau tidak, ia tetap berputar. Walau tak seorang pun mengucapkan terima kasih, ia tetap bekerja. Setiap jam, setiap minit bahkan setiap detik masa. Teruskanlah untuk bergaul ikhlas dengan orang lain, meskipun perbuatan kita tidak pernah dinilai oleh manusia. Selalu lihat pada, kesan jangka panjang.

3. Be a good listener

Kalau baru kenal dengan seseorang, jangan terlalu banyak bercakap tentang diri sendiri. Cuba untuk kenal dengan orang itu lebih dalam (bergantung dengan situasi, kalau orang itu banyak cakap, dengar dan fokus dengan apa yang dia ingin sampaikan.). Dengan mendengar, kita sebenarnya belajar sesuatu yang sangat hebat, tentang bagaimana orang semenanjung fikir, bagaimana orang sarawak fikir dan bagaimana orang sabah fikir. Anda tidak akan menjadi kurang berpengetahuan dengan mendengar apa yang dikatakan oleh orang lain. Malah, ia akan memberikan kita lebih maklumat tentang bagaimana untuk berkomunikasi baik dengan mereka.

It's not how much you know, it's about how much you care.

4. Layanilah orang lain seperti mana kamu mahu dilayani

Kalau tidak suka orang cakap dengan kita menggunakan nada yang tinggi atau seperti marah-marah, jangan juga buat perkara yang sama dengan orang lain. Tidak semua personaliti orang sama tapi, secara umum semua orang ingin dilayan dengan baik. Cuba untuk ramah dengan semua orang tidak kira umur (budak/remaja/org tua).

5. Jaga sensitiviti

Setiap orang ada sensitiviti masing-masing, jadi elakkan daripada crossing the line Contohnya tentang berat badan, isu keluarga, agama dan lain-lain. Be alert dengan perkara yang boleh membuat seseorang itu tersinggung dan elakkan daripada menyentuh perkara tersebut.

6.Jangan gunakan kata-kata yang tidak sopan

Mungkin kita terlalu jujur dari segi bahasa, tapi jangan sekali kali gunakan perkataan yang boleh menyakitkan hati orang lain seperti bodoh, babi dan sebagainya. Kata-kata yang seperti itu mampu membuat orang lain down dan sakit hati.

7. Minta tolong dengan jujur

Bila meminta pertolongan dengan orang lain, rendahkan diri dan bersikap jujur. Contoh, saya tidak pandai buat ini, boleh tolong ajar saya? Jangan pernah berlagak, bila minta tolong dengan orang lain, tunjukkan saja kekurangan kita dan kita perlu bantuan orang itu. Supaya orang itu tahu yang dia juga diperlukan, dan kalau dia tidak mahu tolong itu terpulang kepada dia yang penting kita sudah mencuba. Jangan malu bila minta tolong, kita tidak mampu buat semua perkara seorang diri tanpa bantuan orang lain.

8. Tolong orang dengan ikhlas

Bila orang lain meminta tolong dengan kita, selagi kita mampu tolonglah dia dengan ikhlas. Jangan harapkan balasan bila kita menolong orang lain. Ikhlaskan apa yang kita buat itu, sebab Tuhan yang membalas semua perbuatan kita.

9. Berani cakap tidak

Kalau ada orang yang minta bantuan kita, sekiranya itu membebankan kita, berani cakap tidak, contohnya, kawan minta pinjam duit, tapi, kita pun kekurangan masa itu. Beranikan untuk cakap tidak, bila memang tidak dapat tolong atau komit dengan sesuatu. Sebagai contoh " Terima kasih kerana kau telah percaya pada saya untuk meminta pertolongan tapi saya fikir kau lebih perlukan bantuan seseorang yang baik di X dan Y, dan saya hanya dapat membantu kau dari segi A dan B. Saya mahu membantu kau untuk mendapatkan apa yang kau mahu dan saya fikir kau perlu seseorang yang lebih selari dengan kemahuan kau". Lihat video ini bagaimana cara untuk mengatakan "Tidak" dengan cara yang baik kepada seseorang.

10. Jaga batas pergaulan

Jagalah batas pergaulan bergantung dengan tahap hubungan kita dengan orang itu, kalau belum cukup rapat sentiasa berjaga-jaga dengan pergaulan, untuk mengelak salah faham. Layanlah orang itu dengan baik bergantung tahap keselesaan.

11. Sentiasa open-minded

Bersikap terbukalah supaya orang lain selesa untuk berkomunikasi dengan kita. Cuba untuk menyesuaikan diri dalam apa saja situasi bila bersama orang lain, contoh di gereja atau  tempat kerja. 

12. Dekati seseorang melalui minat yang sama

Lebih mudah untuk mendekati orang yang mempunyai minat yang sama contohnya movie, game, bola sepak dan bermain gitar. Melalui minat yang sama, Ia dapat membantu kita untuk merapatkan hubungan dengan orang lain. Kita juga boleh membina keyakinan diri dari kumpulan ini, kerana selain dapat bertukar pengetahuan, kita juga akan tahu dimana tempat untuk mendapatkan sokongan ketika berada dalam keadaan buntu. Perhubungan akan menjadi lebih mudah dibina, jika anda bergaul dengan orang yang mempunyai banyak persamaan berbanding perbezaan.

13. Berani minta maaf jika berlaku salah faham

Kalau ada sesuatu yang tidak baik berlaku dengan orang lain, jangan biarkan perkara itu merosakkan hubungan baik. Cuba untuk selesaikan salah faham dengan baik (kalau mampu). 

14. Jangan simpan perasaan negatif/berdendam

Kalau orang itu pernah membuat kita sakit hati, jangan jadikan itu alasan untuk tidak mahu bercakap dengan dia dan mengelak. Teruskan saja layanan kita seperti biasa. Jika anda mahu menambah kawan, jadilah seperti jam dinding, yang sentiasa menemani kita susah atau senang. Perasaan negatif atau dendam boleh menghalang anda untuk mencapai lebih banyak kejayaan sejati. Apa maknanya kejayaan, kalau hidup penuh dendam?

15. Belajar dari pengalaman sebelum ini

Mungkin kita pernah ada pengalaman yang tidak baik dengan orang itu, contohnya bergaduh atas sebab pendapat yang tidak sama, jadi, di hari yang lain jangan pernah ulang hal yang sama. Kita lebih kenal orang itu bila berlakunya masalah dengan dia, samada selepas itu hubungan akan jadi lebih rapat atau sebaliknya.

Kesimpulan

Jika anda mahu berjaya dari segi kewangan, belajar untuk melayani setiap orang yang anda temui, dan pastinya tanpa mengorbankan harga diri anda. Belajarlah untuk mengatakan tidak, tanpa terlalu menguris perasaan orang tersebut. Sebab kita adalah manusia dengan tenaga dan kesanggupan yang terhad, kita terpaksa mengatakan "Tidak". Diharapkan 15 tips ini membantu anda menjadi lebih baik dalam kehidupan bersosial yang berkualiti seterusnya dapat mengembangkan rangkaian anda.

Sumber gambar PublicDomainPictures

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel