16 Langkah Untuk Blogger Menulis Artikel Terbaik di Google

Blogger yang menghasilkan artikel terbaik di Google akan mampu menyara diri mereka sekiranya konsisten menulis selama 7 tahun. Saya sangat menyukai pekerjaan sebagai blogger selepas menyedari yang saya menyukai bidang penulisan.

Saya mendapat inspirasi dari kejayaan Timon Adiyoso, seorang blogger dari Samarinda, Indonesia. Blognya iaitu Mastimon.com menjadi salah satu dari blog yang menjadi kegemaran saya. Dan bukan itu saja, saluran Youtubenya juga mencecah 100K pengikut walaupun hanya seorang blogger.

Selepas berulang kali membaca artikel-artikel tulisannya Mas Timon, saya akhirnya dapat melihat peluang menjana pendapatan dari aktiviti menulis blog. Mas Timon sangat rajin dan bijak orangnya, saya teringin untuk mengikut jejaknya menyara keluarga dengan aktiviti blogging.

Tapi untuk melakukan itu, saya perlu membuat satu standard penulisan artikel yang mesti saya patuhi supaya dapat maju mencapai matlamat ini dengan lancar. Saya sebenarnya sudah menulis standard penulisan artikel sebelum ini dalam artikel Siapa Yang Mahu Belajar Tabiat Blogging Saya?

Mungkin kerana tajuknya tidak menarik perhatian, saya membuat keputusan untuk menulisnya semula dengan tajuk yang lebih menarik iaitu 16 Langkah untuk Blogger Menulis Artikel Terbaik di Google

Apa yang saya kongsikan disini merupakan 90% sama dengan langkah-langkah yang saya gunakan ketika menulis sesuatu artikel untuk blog ini. Jadi, tanpa membuang masa lagi, mari saya tunjukkan rahsia saya dalam menghasilkan artikel-artikel yang terbaik di Google.

16 Langkah Untuk Blogger Menulis Artikel Terbaik di Google


1. Mencari Perkataan Yang Popular

Saya kini mempunyai 3 cara untuk mencari perkataan yang popular untuk ditulis. Cara mencari yang pertama ialah dengan melihat dan mendengar topik yang popular disekeliling anda. Tanya diri anda, Apa topik yang sering disebut oleh masyarakat yang ada disekililing anda?

Saya juga menggunakan Google Trends atau Ubersuggest untuk mencari perkataan yang popular pada masa ini. Sangat mudah menggunakannya, hanya taip 1-2 perkataan seperti Lirik lagu, cara, perbezaan, contoh, berita dan tips.

Selepas menekan link cari, anda akan melihat senarai bagaimana orang menggunakan sesuatu perkataan untuk mencari maklumat yang mereka perlukan di Google. Selepas menemukan perkataan yang popular, jangan berlengah-lengah lagi, ambil perkataan itu untuk langkah yang ke-2.

2. Menyusun Perkataan Menjadi Tajuk Menarik

Tajuk artikel mestilah yang menarik perhatian orang yang melawat di blog anda. SEO mencadangkan agar tajuk artikel anda mestilah dalam 50 - 60 karakter, kerana selain untuk menarik perhatian orang, ia juga akan digunakan untuk membuat url yang baik bagi artikel anda.

Jadikan ini sebagai peraturan pertama untuk meningkatkan pelawat. Saya suka untuk menulis tajuk artikel secara spesifik. Untuk menjadi spesifik, saya suka meletakkan nombor pada tajuk artikel saya. Anda boleh juga menggunakan formula ini untuk membina tajuk artikel blog anda.

-[Bilangan Besar] Cara [Mencapai Hasil]
-[Nombor] Rahsia untuk [Mencapai Hasil yang Diinginkan]
-[Number] Langkah untuk [Mencapai Hasil yang Diinginkan]

Selain itu, perkataan seperti Perbezaan, Cara dan Tutorial juga dapat menjadikan tajuk artikel anda lebih menarik. Kuasai bahagian ini, kerana ia sangat berkuasa menarik lebih ramai pembaca ke blog anda.

3. Menulis Isi-Isi Yang Menjawab Tajuk

Selepas mempunyai tajuk yang jelas dan menarik, kini anda perlu meletakkan isi-isi yang menjawab tajuk tersebut. Pilihlah isi-isi yang boleh anda terangkan dengan baik untuk menyokong tajuk artikel tersebut.

Semakin banyak isi, semakin bertambahlah pengalaman pembaca dengan blog anda. Minimum, sediakan sekurang-kurangnya 4 isi supaya artikel anda lebih panjang dan bermakna. Anda boleh melihat sendiri cara saya meletakkan isi-isi dalam artikel ini.

Yang paling penting lagi ialah usahakan untuk meletakkan isi-isi yang tepat pada pandangan anda. Itu adalah blog anda dan anda boleh kongsikan pengetahuan dan pengalaman hidup anda sendiri. Tulislah isi-isi yang logik, yang dapat menambah nilai dan kualiti hidup pembaca-pembaca anda.

4. Mengatur Isi-Isi Menjadi SubHeading (H2)

SubHeading (H2) adalah tajuk kecil yang menekankan lagi kata kunci yang terdapat di Heading (H1). Tujuannya adalah supaya dapat dilihat atau dibaca dengan mudah oleh manusia atau enjin carian yang ada di internet khususnya Google.

Subheading dapat menyerlahkan isi-isi penting yang ada di artikel anda. Enjin carian akan lebih mudah mengenali isi-isi penting artikel anda jika ditetapkan menggunakan tag ini. Dari pandangan enjin carian, tag ini lebih penting daripada huraian anda walaupun ianya penuh dengan butiran-butiran penting.

Sebagai contoh, lihat pada isi-isi artikel saya ini, ia sebenarnya bukan diatur sebagai BOLD, tetapi sebagai SUBHEADING supaya anda boleh terus mengambil isi-isi penting dari artikel ini. Praktis penulisan seperti ini boleh membantu anda berjaya sebagai blogger pada masa depan.

5. Menulis "Kesimpulan" Menjadi Heading (H2)

Kesimpulan adalah perenggan terakhir dalam artikel yang anda tulis. Sesetengah pembaca suka untuk terus melompat ke bahagian kesimpulan kerana mahu menangkap isi-isi utama yang saya sampaikan dalam artikel saya.

Nah, saya menulis perkataan ini secara jelas supaya pembaca-pembaca saya yang mempunyai kebiasaan seperti ini dapat mengesan bahagian ini dengan pantas. Jadi jangan sekali-kali menganggap bahawa bahagian kesimpulan ini tidak penting hanya kerana anda sudah sampai pada penghujung artikel anda.

Pembaca anda tidak tinggal di dalam kepala anda. Apa yang jelas bagi anda mungkin tidak begitu jelas bagi orang lain! Jadi sangat penting untuk menghubungkan semua maklumat yang telah anda kongsikan dan nyatakannya semula menggunakan kata yang berbeza.

Paling penting, buat kesimpulan yang dapat membiarkan pembaca pergi dengan puas hati dan kembali semula dengan perasaan ingin tahu. Begitulah pentingnya bahagian kesimpulan ini pada perkembangan blog anda. Jangan abaikan bahagian ini.

6. Mencari Gambar Yang Mengambarkan Tajuk

Otak kita dapat menafsirkan gambar lebih cepat daripada teks. Ia memberikan pengalaman yang jauh lebih mendalam daripada perkataan sahaja. Itulah sebabnya blog atau artikel anda mesti mempunyai gambar yang baik.

Artikel yang mempunyai gambar lebih banyak dikongsi di media sosial berbanding artikel yang tidak bergambar. Statistik dari Search Engine Journal  menyatakan bahawa Artikel dengan gambar mendapat tontonan 94% lebih banyak daripada artikel yang tidak bergambar.

Jika anda mahukan lebih banyak pelawat ke blog anda, letakkanlah sekurang-kurangnya 1 gambar untuk pembaca anda membayangkan masej yang anda sampaikan. Banyak website yang menyediakan gambar percuma untuk digunakan sebagai penghias artikel anda. 

Bagi saya, Pixabay adalah yang terbaik. Dari segi SEO, Gambar memainkan peranan sangat sangat penting bagi artikel anda. Ia merupakan salah satu dari senarai SEO onpage yang perlu anda penuhi untuk meletakkan artikel anda ditempat yang lebih baik dalam enjin carian Google.

7. Memuatnaik Gambar di bahagian Pengenalan

Pada artikel saya yang lama di bawah tajuk Siapa Yang Mahu Belajar Tabiat Blogging Saya? saya menulis langkah ke-7 iaitu "Memuatnaik Gambar di Bawah Tajuk" kerana saya mahu pembaca bermain-main dahulu dengan warna-warni.

Tapi kini, saya lebih suka untuk meletakkan gambar di kawasan pengenalan artikel tapi bukan di bawah tajuk. Ini kerana, saya mahu pembaca merasa segar sepanjang membaca artikel saya. Tambahan lagi, curiosity mereka masih membuak-buak pada masa itu.

Seperti yang kita tahu, Gambar dapat membuatkan pembaca jelas dengan tujuan mereka membaca artikel anda. Selain itu, Ia juga dapat menyegarkan mata pembaca dengan warna warni yang ada pada gambar yang kita muat naikkan.

Saya fikir dengan meletakkan gambar dikawasan pengenalan artikel, ia dapat menjaga dan mengekalkan tumpuan pembaca kerana sentiasa disegarkan oleh warna warni yang ada pada gambar. Saya mengumpamakan gambar sebagai titik noktah berwarna.

Saya melakukannya supaya mata pembaca boleh berehat setelah melalui warna perkataan yang terdiri daripada hitam dan putih.

8. Meletakkan Alt Text pada Gambar

Ini juga merupakan salah satu peraturan dalam SEO onpage. Alt Text digunakan dalam kod HTML untuk menggambarkan penampilan dan fungsi gambar pada artikel kita. Tujuan saya meletakkan Alt Text pada gambar di blog saya adalah supaya orang boleh menemui saya melalui carian gambar Google.

Apabila menggunakan Alt Text yang mengandungi kata kunci sasaran anda. Artikel anda boleh mendapat tempat terbaik di dalam enjin carian. Kata kunci yang dikaitkan dengan gambar tersebut akan memberikan peningkatan yang relevan kepada artikel anda.

Kandungan Alt Text adalah isyarat yang berguna bagi mesin pencari untuk memahami apa sebenarnya maklumat yang ada dalam artikel anda. Jadi, jika anda menulis tentang kasut, gunakan gambar kasut, dan gunakan Alt Text "kasut" pada gambar anda.

Kadar persaingan untuk mendapatkan trafik melalui gambar adalah rendah, maka dengan itu, gunakan Alt Text supaya anda dengan mudah ditemui di Google melalui carian Imej Google.

9. Meletakkan Link Kredit Pemilik Gambar

Apabila saya menggunakan gambar orang lain, saya akan meletakkan link untuk memberikan kredit kepada pemilik gambar tersebut, supaya dia bersemangat untuk menangkap lebih banyak lagi gambar dan digunakan oleh sesiapa sahaja yang memerlukannya.

Selain untuk mengelakkan daripada masalah hak cipta, meletakkan link kredit kepada pemilik gambar juga dapat mengembangkan rangkaian online anda. Pemilik gambar akan merasa bangga kerana gambar mereka digunakan oleh ramai orang, dan itu akan meningkatkan reputasi mereka dalam dunia gambar.

Siapa tahu mereka akan menyebut nama anda sebagai pelanggan yang setia menyokong hasil-hasil kerja mereka. Dari segi peraturan SEO onpage, ini juga boleh dikatogerikan sebagai External link atau link keluar.

10. Meletakkan Link Artikel Lama

Jika anda melakukan ini, anda sebenarnya sedang mengikuti peraturan SEO Onpage iaitu pemasangan Internal Link. Internal Link adalah pautan dari satu halaman ke halaman lain yang ada di blog anda. Selain itu, ia juga memberikan idea kepada Google mengenai struktur blog anda.

Saya galakkan untuk anda meletakkan link yang menggunakan kata kunci yang hampir sama. Sebagai contoh, Jika anda sedang menulis artikel tentang "9 Tabiat Blogger Yang Membantu Anda Terus Maju" anda boleh linkkan dengan "Blogger Bangun Awal".

Kenapa? Sebab ia membahas tentang topik yang sama iaitu Blogger. Amalan yang kecil ini dapat memberikan kesan yang besar pada prestasi SEO blog anda. Jadi, jangan lupa amalkan ini dalam setiap artikel yang anda akan tulis nanti.

11. Meletakkan Label Artikel

Meletakkan label pada artikel anda dapat memudahkan pembaca anda untuk mencari apa yang mereka perlukan. Menurut Georgia Lou Studios, terdapat 4 amalan yang baik untuk menyusun label dan kategori topik blog anda.
  1. Jangan lebih dari 20 Label bagi setiap blog.
  2. Jangan lebih dari 3 Label bagi setiap artikel.
  3. Jangan lebih dari 3 Perkataan bagi setiap Label
  4. Jangan pernah ada Label tanpa artikel.
Kini, blog saya mempunyai 17 label, tapi saya hanya tonjolkan beberapa label sahaja dalam sitemap. Pada masa akan datang, saya merancang untuk mengurangkan bilangan label ini supaya dapat menumpukan pada label-label yang saya minati.

Saya sebenarnya menyukai label yang berbentuk kerjaya seperti Blogger dan Youtuber. Tujuannya adalah untuk memudahkan blogger dan youtuber ini mengakses maklumat yang berkaitan dengan kerjaya mereka.

Saya juga menambah beberapa lagi label yang menarik iaitu Lirik, Quotes, Cara dan Lifestyle. Saya mencadangkan supaya anda menggunakan label dari perkataan yang popular untuk memperkayakan lagi blog anda dengan perkataan yang tinggi cariannya setiap bulan.

12. Mengedit Permalink

Menurut Neil Patel, url yang mempunyai 50 - 60 karakter sudah cukup baik dari segi SEO. Ini kerana, Google menyukai link yang pendek. Oleh itu, setiap kali anda mengedit permalink, pastikan ianya tidak lebih dari 60 karakter.

Untuk mengedit permalink, saya cadangkan anda salin sahaja dari tajuk artikel yang sedang anda tulis. Jika terlebih, buang perkataan yang tidak penting TANPA membuang perkataan yang anda mahukan ianya ditemui dalam enjin carian Google.

 Persoalan seterusnya, bagaimana untuk mengira karakter pada url anda?
Caranya mudah bagi anda yang menulis artikel terus dari platform Blogger, anda boleh memasang Google extension yang bernama Word Counter Plus di laptop atau PC anda. Saya telah menulis tentangnya di artikel Cara Memasang Word Counter Plus di Laptop.

13. Menyusun Ayat Search Description

Search Description adalah potongan teks yang menggambarkan isi kandungan artikel anda. Mesin pencari akan menunjukkan potongan teks ini di bawah tajuk halaman dalam hasil carian jika mereka tidak dapat menemui kandungan laman web yang lebih relevan dengan hasil carian pelawat.

Tujuan search Description adalah untuk menarik orang membaca artikel anda. Menurut statistik dari Backlinko, "Halaman yang mempunyai search description mendapat 5.8% lebih banyak klik daripada yang tanpa search description."

Pastikan anda memberitahu sesuatu yang penting dan menarik dalam ruangan search description artikel anda. Ingat, gunakan ruangan ini untuk mengalakkan orang mengklik artikel anda. Akhir sekali, ini juga adalah salah satu aspek penting dalam SEO onpage yang perlu anda penuhi.

14. Menerangkan Isi Dalam 3 Ayat

Huraian bermaksud memperincikan sesuatu isi dengan lebih dalam lagi. Proses huraian akan menjadi lebih mudah untuk penulisan blog kerana ia tidak mempunyai format yang tetap. Anda boleh menggunakan pelbagai gaya penulisan yang anda mahukan.

Pastikan anda jelas dengan apa yang anda tulis. Jadi, untuk membuat artikel anda lebih panjang, anda boleh selitkan atau huraikan isi-isi hatimu dengan ringkas dan terperinci. Sampaikan huraian anda seringkas yang boleh dalam 3 ayat.

Ini hanyalah standard umum yang saya tetapkan sendiri dalam penulisan artikel di blog saya ini. Anda boleh juga menerangkan lebih dari 3 ayat, tapi jangan kurang dari itu. Tips mudah ialah anda boleh menggunakan 5W1H untuk menghuraikan isi-isi penting anda.

15. Memastikan Artikel Wujud dalam carian google

Selepas menulis sesebuah artikel, saya akan tekan Publish. Kemudian, saya akan pergi ke Google search console untuk menghantar artikel tersebut supaya diindex dalam carian Google secepat yang mungkin.

Ini mesti dilakukan secepatnya supaya artikel anda dapat masuk ke dalam pusat data Google dan bersedia untuk dicapai oleh pembaca organik dari enjin carian Google.

Artikel yang sudah dihantar ke dalam Google Search Console akan memaparkan peringatan seperti ini; It can appear in Google Search results (if not subject to a manual action or removal request) with all relevant enhancements.

Selepas melihat peringatan seperti ini, anda bolehlah bersenang hati dan biarkan Google melakukan kerjanya. Sekarang anda hanya perlu tumpukan pada langkah ke-16.

16. Mempromosikan Artikel di Sosial Media

Selepas menyerahkan artikel kepada google melalui Google Search Console, saya akan mempromosikan artikel ke sosial media seperti Facebook, Twitter, Instagram, LinkedIn dan Youtube. Tujuannya adalah untuk memenuhi kriteria SEO Offpage.

SEO Offpage adalah teknik pengoptimuman yang dapat meningkatkan kedudukan artikel kita di enjin carian Google. Saya memilih untuk melakukan ini kerana saya mahu artikel saya mendapat tempat yang baik dalam enjin carian.

Bagi saya, tujuan promosi adalah untuk memberitahu dan mengingatkan pelanggan mengenai kewujudan artikel kita. Tindakan kecil ini juga, jika dilakukan dengan konsisten boleh meningkatkan reputasi anda sebagai blogger.

Oleh itu, promosikanlah artikel anda secara konsisten, paling minimum seminggu sekali, maksimum satu kali setiap jam. Carilah rentak promosi yang bersesuaian dengan diri anda sendiri.

Kesimpulan

Dengan adanya langkah-langkah yang teratur, anda sebenarnya menggandakan peluang kejayaan anda dalam dunia blogging. 16 langkah ini tidak hanya meningkatkan peluang anda untuk berjaya, tetapi juga dapat menjimatkan masa dalam membina asas blogging yang kukuh.

Sekarang anda hanya perlu fokus untuk menulis artikel secara berkala, dan secara konsisten untuk mengembangkan blog anda. Saya mengakui proses menulis tidaklah semudah yang difikirkan, tapi saya yakin anda pasti boleh jika anda mempunyai tekad yang kuat dalam diri.

Akhir sekali, ambil poin-poin ini dan gunakannya untuk membina atau mengukuhkan asas blogging anda. Semoga artikel ini dapat membantu anda menjadi blogger yang dapat menghasilkan artikel terbaik bukan sahaja di enjin carian Google tetapi juga di enjin-enjin carian lain di internet.

Sumber gambar Burst

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel