Memotivasikan orang lain merupakan perkara yang saya suka lakukan. Sebelum ini saya sering kali mengongsikan kata-kata motivasi di akaun sosial media saya, kini saya masih melakukannya namun dengan objektif yang lebih jelas. Ia bermula ketika saya berazam untuk mencapai kebebasan kewangan melalui pemupukan tabiat positif dan menjangkau lebih ramai orang di Internet.
Dengan pengalaman hidup, saat mengalami kekalahan, kesunyian, kerugian, merasa bodoh, direndah-rendahkan, ditolak, merasa ego, sombong dan kemudian direndahkan semula menyedarkan saya tentang Konsisten. Ia seperti aktiviti makan dan tidur, 2 perkara yang kita lakukan dengan konsisten dari lahir sampai dewasa yang membentuk kita pada hari ini.
Saya akui saya tiada kredibiliti yang cemerlang dengan topik yang saya kongsikan di blog ini. Namun, dengan pendekatan SMART ditambah pula dengan semangat, minat dan fokus pada topik ini, saya yakin boleh memberikan sedikit motivasi kepada sesiapa di luar sana yang ingin bermain permainan jangka panjang. Permainan ini boleh jadi perkara-perkara yang anda paling inginkan di dalam hidup anda.
Sekarang ini, pada hari terakhir setiap bulan saya akan mengongsikan tentang kunci kejayaan jangka panjang iaitu KONSISTEN. Saya berharap anda akan melawat blog ini setiap bulan supaya anda kekal bermotivasi untuk mencapai impian dan cita-cita anda. Saya juga mengekspresikan topik ini di sosial media saya seperti di Tiktok dan Twitter.